Sunday, April 27, 2008

Jamnapari-Episod Baru Bermula




Malam tadi tepat jam 10:30 malam 26 April 2008 bermulalah episod baru EG Plantation dalam dunia penternakan kambing Jamnapari FB bilamana sejumlah 12 ekor Jamnapari Induk dan 1 ekor Jamnapari Pejantan tiba dan memasuki kandang sementara EG Plantation yang terletak di Trolak Timur.

Perjalanan Jamnapari ini dari Teguh Ternak di Meru, Klang Selangor mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit untuk lori yang membawa Jamnapari ini tiba dengan 3 orang kakitangan Teguh Ternak yang di ketuai oleh Sdr Rais tidak menghadapi apa-apa masalah. Pun begitu terdapat pemeriksaan biasa yang dijalankan oleh Polis Bantuan di pintu masuk Felda Trolak Timur. Memandangkan perjalanan Jamnapari ini adalah beserta dengan permit yang dikeluarkan oleh JPH, maka ianya tidak mendatangkan apa-apa masalah semasa pemeriksaan tersebut.

Tepat jam 10:45 malam, Jamnapari Pejantan mula diturunkan dari lori dengan mengikat seutas tali pada leher Jamnapari bagi mengelakkannya terlepas dan melarikan diri memandangkan kedudukan pintu masuk kandang tidak membolehkan Jamnapari tersebut dimasukkan terus ke dalam kandang dari atas lori. Tambahan pula persekitaran kawasan tersebut agak gelap dan menyukarkan sekiranya Jamnapari tersebut terlepas nanti.

Keadaan agak cemas seketika bilamana satu insiden berlaku bila tali yang mengikat leher Jamnapari Pejantan tersebut terlucut dan menyebabkan Jamnapari terlepas dari ikatan. Prof (Kamarol) yang berada berhampiran segera menangkap dengan memegang leher Jamnapari Pejantan tersebut. Alhamdulillah, Jamnapari Pejantan itu tidak meronta atau melarikan diri sebelum Haji Amir (Ayah Mertua EG) mengikat tali ke leher Jamnapari Pejantan tersebut dan terus membawanya memasuki kandang.

Proses membawa turun Jamnapari Induk seterusnya berjalan dengan lancar tanpa apa-apa masalah sehingga kesemuanya dimasukkan ke dalam kandang sekitar jam 11:15 malam.

Terdapat 2 ekor Jamnapari Induk yang menghadapi sedikit "stress". Mungkin kerana perjalanan yang agak jauh dari Meru ke Trolak Timur sekitar 120km telah menyebabkannya berlaku. Tetapi seketika kemudian, kesemua Jamnapari Induk mula meragut rumput Napier yang telah disediakan sejak lewat petang tadi.

Kemasukan Jamnapari FB ini juga telah menarik perhatian Jamnapari (Cross) dan kambing-kambing lain yang sedia-ada di dalam kandang dan menyebabkan keadaan agak bising dengan bunyi kambing mengembek. Mujurlah, kandang EG jauh dari kawasan penempatan orangramai, maka ianya tidak mendatangkan masalah gangguan kepada mereka.


Kami berada dan memerhatikan keadaan Jamnapari-Jamnapari tersebut di dalam kandang bagi memastikan kesemua Jamnapari tersebut berada di dalam keadaan baik dan memuaskan sebelum meninggalkan kandang sekitar jam 12:15 tengahmalam.

Kami menjangkakan, Jamnapari Induk baru ini akan mula beranak pada 4 bulan yang akan datang memandangkan terdapat beberapa ekor Induk yang telahpun bunting semasa berada di penempatan sementara di kandang Teguh Ternak lagi.





1 comment:

Akmal Syahrir said...

Tahniah Bro,
Selamat Maju Jaya...Nanti boleh la bagi tips2 penting.