Thursday, May 22, 2008

Perkembangan Pembinaan Kandang Baru



Ini perkembangan terbaru Projek Pembiak-Bakaan Jamnapari Tulen yang sedang kami jalankan di Ladang Ternakan EG Plantation di Felda Trolak Timur. Walaupun agak perlahan, namun kami dah boleh tersenyum lebar sedikit sewaktu melihat kesemua 28 batang tiang bagi kandang baru telah siap sedia didirikan oleh Hj Amir dan Puan Shabariah.

Pada hari minggu dan cuti Wesak yang lalu, kami sekeluarga telah turun padang bergotong-royong. Aku (eg) telah membantu bapa mertua memacak tiang, mengorek lubang dan mencangkul tanah, puhhh.. sampai melecup tangan dibuatnya. Isteri ku dan adik ipar membersihkan kandang, mengikis sisa-sisa tinja yang melekat dilantai. Pada sebelah petang, kandang disembur dengan ubat pembasmi kuman dan bakteria. Mungkin 2 bulan sekali kandang akan disembur dengan ubat bagi menjamin kebersihan dan kesihatan kambing.

Kandang baru kami ini berkeluasan 28'x60' bakal mempunyai sekurang-kurangnya 10 pen (petak). Setiap satu pen berkeluasan 10'x10' dapat memuatkan antara 10~12 ekor Jamnapari dewasa. Pen rawatan juga akan dibina bagi tujuan memudahkan merawat kambing yang sakit atau kambing yang sedang menanti kelahiran atau kambing yang baru melahirkan anak.

Disamping itu juga sebuah setor untuk menyimpan peralatan dan kemudahan pengurusan kandang telah hampir 40% siap. Bila dah siap nanti, bolehlah kami mula menempatkan beberapa peralatan seperti Mesin Chopper, Tong Silaj, kelengkapan ubat-ubatan dan sebagainya.


Bagi pembinaan kandang yang baru ini, kami menggunakan kayu-kayu terpakai dan yang telah "reject" kerana ianya adalah lebih baik dan tahan lama berbanding kayu yang baru bukan sahaja ianya jauh lebih mahal, malahan tidak tahan lama disebabkan belum cukup kering (matang). Kami juga berharap kos pembinaan kandang baru ini tidak melebihi RM20K atau tidak melebihi jangkaan RM12 sekaki persegi.



InsyaAllah, apabila telah siap nanti, bolehlah kami mula memasukkan Kambing Jamnapari Induk dan memulakan secara aktif Sistem Pawah Kambing. Pada masa sekarang telah ada beberapa tempahan daripada mereka yang ingin menyertai, tetapi kami terpaksa meminta mereka untuk bersabar sehingga selewat-lewatnya bulan Ogos 2008 nanti.

Kami juga di dalam proses akhir untuk menyiapkan program Sistem Pawah Kambing Jamnapari ini dengan kos yang berpatutan sebanyak RM10,000 sahaja dengan pulangan yang amat menarik selama 2 tahun.

Pada masa yang Kertas Cadangan Sistem Pawah ini telahpun diserahkan kepada pihak bank untuk kelulusan bagi mendapatkan pembiayaan kepada peserta Sistem Pawah EG Plantation yang layak. Pada hari yang sama wakil pihak bank sendiri telahpun mengadakan lawatan ke Ladang Ternakan EG Plantation untuk meninjau lokasi ladang dan kemudahan yang akan disediakan nanti. Mudah-mudahan semua berjalan dengan lancar seperti yang kami harapkan.




No comments: