Sunday, April 27, 2008

Jamnapari-Episod Baru Bermula




Malam tadi tepat jam 10:30 malam 26 April 2008 bermulalah episod baru EG Plantation dalam dunia penternakan kambing Jamnapari FB bilamana sejumlah 12 ekor Jamnapari Induk dan 1 ekor Jamnapari Pejantan tiba dan memasuki kandang sementara EG Plantation yang terletak di Trolak Timur.

Perjalanan Jamnapari ini dari Teguh Ternak di Meru, Klang Selangor mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit untuk lori yang membawa Jamnapari ini tiba dengan 3 orang kakitangan Teguh Ternak yang di ketuai oleh Sdr Rais tidak menghadapi apa-apa masalah. Pun begitu terdapat pemeriksaan biasa yang dijalankan oleh Polis Bantuan di pintu masuk Felda Trolak Timur. Memandangkan perjalanan Jamnapari ini adalah beserta dengan permit yang dikeluarkan oleh JPH, maka ianya tidak mendatangkan apa-apa masalah semasa pemeriksaan tersebut.

Tepat jam 10:45 malam, Jamnapari Pejantan mula diturunkan dari lori dengan mengikat seutas tali pada leher Jamnapari bagi mengelakkannya terlepas dan melarikan diri memandangkan kedudukan pintu masuk kandang tidak membolehkan Jamnapari tersebut dimasukkan terus ke dalam kandang dari atas lori. Tambahan pula persekitaran kawasan tersebut agak gelap dan menyukarkan sekiranya Jamnapari tersebut terlepas nanti.

Keadaan agak cemas seketika bilamana satu insiden berlaku bila tali yang mengikat leher Jamnapari Pejantan tersebut terlucut dan menyebabkan Jamnapari terlepas dari ikatan. Prof (Kamarol) yang berada berhampiran segera menangkap dengan memegang leher Jamnapari Pejantan tersebut. Alhamdulillah, Jamnapari Pejantan itu tidak meronta atau melarikan diri sebelum Haji Amir (Ayah Mertua EG) mengikat tali ke leher Jamnapari Pejantan tersebut dan terus membawanya memasuki kandang.

Proses membawa turun Jamnapari Induk seterusnya berjalan dengan lancar tanpa apa-apa masalah sehingga kesemuanya dimasukkan ke dalam kandang sekitar jam 11:15 malam.

Terdapat 2 ekor Jamnapari Induk yang menghadapi sedikit "stress". Mungkin kerana perjalanan yang agak jauh dari Meru ke Trolak Timur sekitar 120km telah menyebabkannya berlaku. Tetapi seketika kemudian, kesemua Jamnapari Induk mula meragut rumput Napier yang telah disediakan sejak lewat petang tadi.

Kemasukan Jamnapari FB ini juga telah menarik perhatian Jamnapari (Cross) dan kambing-kambing lain yang sedia-ada di dalam kandang dan menyebabkan keadaan agak bising dengan bunyi kambing mengembek. Mujurlah, kandang EG jauh dari kawasan penempatan orangramai, maka ianya tidak mendatangkan masalah gangguan kepada mereka.


Kami berada dan memerhatikan keadaan Jamnapari-Jamnapari tersebut di dalam kandang bagi memastikan kesemua Jamnapari tersebut berada di dalam keadaan baik dan memuaskan sebelum meninggalkan kandang sekitar jam 12:15 tengahmalam.

Kami menjangkakan, Jamnapari Induk baru ini akan mula beranak pada 4 bulan yang akan datang memandangkan terdapat beberapa ekor Induk yang telahpun bunting semasa berada di penempatan sementara di kandang Teguh Ternak lagi.





Friday, April 25, 2008

Kemasukan Kambing Jamnapari



InsyaAllah, jika tiada apa-apa aral melintang, EG Plantation akan menerima kemasukan sebanyak 12 Jamnapari Induk dan 1 ekor Jamnapari Pejantan ke dalam kandang sedia ada. Pembelian kesemua kambing Jamnapari ini adalah melalui Teguh Ternak Sdn. Bhd. di Meru Klang, Selangor yang juga merupakan diantara pembekal baka-baka tulin Kambing Jamnapari (F1) yang bermutu tinggi.

Seperti kebiasaannya, Jamnapari tersebut yang dibeli di Negara Indonesia terpaksa dikuarantinkan terlebih dahulu di kandang Teguh Ternak bagi memastikan Jamnapari tersebut dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran negara kita. Ini juga dapat mengelakkan pembeli daripada menghadapi masalah apabila Jamnapari tersebut mengalami keadaan "stress".

Memandangkan proses "ujian darah" dan kelulusan rasmi dari Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Klang dan Perak mengambil masa yang agak lama, maka Teguh Ternak dan EG Plantation terpaksa menjadualkan penghantaran Kambing Jamnapari tersebut beberapa kali, walaupun kandang EG Plantation telah lama bersedia menantikan kemasukan Jamnapari tersebut.

Kelulusan dan permit tersebut hanya diperolehi pada lewat minggu lepas setelah hampir 2 bulan menguruskan dan membuat permohonan kepada pihak JPH. Adalah menjadi harapan semua penternak-penternak agar pihak JPH lebih peka di dalam menyelesaikan masalah kelewatan memberikan permit pemindahan kambing ini kerana secara tidak langsung ianya telah menyebabkan kenaikan terhadap kos pengurusan kambing.

InsyaAllah, kemasukan Kambing Jamnapari tersebut dijadualkan pada hari Sabtu 26 April 2008 ini di Kandang EG Plantation.


Sunday, April 20, 2008

Kursus Penternakan Kambing Siri1-Penutup



Kursus Penternakan Kambing Siri-1 anjuran EG Plantation dengan kerjasama Teguh Ternak Sdn. Bhd. di Meru, Klang, Selangor yang bermula dari 16 April 2008, telahpun berakhir 20 April 2008. Seramai 16 orang peserta telahpun berjaya menamatkan Kursus Penternakan ini selama 5 hari 4 malam.

Pada hari terakhir, Pegawai dari Institut Pengurusan Varterina Cheras (IPV), Tuan Haji Mukhzir telah menyampaikan ceramah tentang pengurusan ternakan dan diikuti oleh Pegawai Pusat Latihan Agro Bank (dahulunya Bank Pertanian Malaysia)-ABADI telah mewakili pihak bank untuk memberikan penerangan tentang kemudahan dan pinjaman yang disediakan oleh pihak bank kepada peserta-peserta kursus ternakan ini.


Kesemua peserta iaitu 10 orang lelaki dan 6 orang wanita yang mengikuti kursus ini mempunyai latar belakang yang berbeza tetapi matlamat mereka adalah sama iaitu untuk menjadi seorang usahawan ternak yang berjaya di suatu hari nanti.

Peserta yang mengikuti latihan ini akan terus dibimbing oleh EG Plantation untuk menjadi seorang usahawan ternak yang berjaya. InsyaAllah.



Wednesday, April 16, 2008

Kursus Penternakan Kambing Siri-1 Bermula




Malam tadi jam 10:00 malam berlangsung langkah pertama kami menguruskan Kursus Penternakan Kambing Siri-1 secara usahasama dengan Teguh Ternak Sdn. Bhd. di Meru, Klang, Selangor Darul Ehsan. Seramai 11 orang telah hadir dan bermalam di sana dan baki selebihnya seramai 9 orang akan hadir pada pagi ini seawal jam 7:30 pagi untuk memulakan kursus penternakan tersebut selama 5 hari 4 malam.

Majlis malam tadi bermula dengan penyerahan peserta kursus kepada En. Halim yang kemudian memberikan taklimat berkenaan dengan perjalanan kursus sepanjang 5 hari 4 malam serta kemudahan yang disediakan oleh pihak Teguh Ternak.

Mudah-mudahan kursus ini akan berjalan dengan lancar bagi membolehkan peserta kursus dapat menimba ilmu pengetahuan yang berguna di dalam dunia penternakan dan seterusnya menjadi usahawan ternak yang berjaya. InsyaAllah.









Tuesday, April 15, 2008

Kursus Penternakan Kambing Siri-1





Buat pertama kalinya, EG Plantation akan mengadakan Kursus Asas Penternakan Kambing Siri-1 selama 5 hari 4 malam bermula dari 16 April 2008 hingga 20 April 2008 ini bertempat di Teguh Ternak Sdn. Bhd., Meru, Klang, Selangor Darul Ehsan.

Kursus yang dijalankan secara usahasama dengan Teguh Ternak ini adalah sebagai langkah permulaan EG Plantation untuk mengembangkan lagi ilmu penternakan kepada bakal usahawan ternakan kambing dengan harapan ianya akan menjadi titik permulaan untuk mereka bakal menjadi usahawan ternak yang berjaya di masa akan datang.

Seramai 20 orang peserta pertama dijangka akan mula mendaftarkan diri sebelum jam 7:00 malam pada 15 April 2008 (Selasa) diikuti dengan sessi suaikenal diantara para peserta.


Dalam masa yang sama EG Plantation sedang di dalam proses membina prasarana untuk membolehkan peserta kursus untuk sessi-sessi yang akan datang menjalani kursus di Ladang Ternakan EG Plantation yang terletak di Felda Trolak Timur, Perak.

Tuesday, April 8, 2008

KURSUS PENTERNAKAN KAMBING

EG PLANTATION akan memulakan kursus bagi penternak-penternak kambing di Felda Trolak Timur, Perak, selewat-lewatnya bermula pada penghujung tahun ini.
Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai kursus ini, EG PLANTATION akan menempatkan para peserta menyertai kursus di TEGUH TERNAK SDN BHD di Klang.
Kepada yang berminat boleh menghubungi saya (syahrizal) di talian
019-2560669 utk maklumat lanjut.

PELABURAN YANG MENGUNTUNGKAN

EG PLANTATION ada menyediakan "SYSTEM PAWAH".
untuk maklumat lanjut boleh menghubungi saya untuk perbincangan.
Anda boleh menghubungi saya melalui talian 019 2560669 atau email kepada
eg_as2@yahoo.com