21 Mei 2008 - Baru-baru ini beberapa ekor kambing yang terdapat di kandang kami mengalami masalah "cirit" pada tahap sederhana bilamana tinja yang dikeluarkan tidak normal iaitu berlonggok dan agak lembik. Setelah diteliti dan mengkaji serba sedikit pada tinja yang dihasilkan, kami dapati terdapat cacing di dalam tinja tersebut.
Pada peringkat awalnya kami memberikan ubat secara oral namun ianya agak lambat mendatangkan kesan dan penyakit cirit ini berulang-ulang datang selang beberapa hari kemudian dan tidak menampakkan tanda-tanda pulih sepenuhnya.
Kemudiannya kami beralih pula kepada kepada rawatan secara suntikan di bawah kulit dengan menggunakan ubat 3 serangkai. Alhamdulillah, keesokkan harinya ubat ini telah mendatangkan kesan yang amat baik bilamana kesemua kambing-kambing yang menghadapi masalah cirit dan cacing ini telah pulih sepenuhnya.
Bila dah pulih sepenuhnya, Jamnapari yang sebelum ini tidak pernah dilepaskan keluar dari kandang, kami biarkan meragut rumput dan kekacang yang amat banyak di sekitar kawasan Ladang Ternakan ini. Pwahhhh...bukan main seronok lagi si Jambul (Jamnapari Pejantan) yang pada mula takut-takut nak keluar...yealah..tak pernah pijak tanah semenjak tiba di Malaysia ni...
Tengok tu...dia macam tau-tau saya nak ambil gambar dia, posing mengalahkan seorang jagoan berlatarkan pemandangan bukit bukau.
Tujuan kami membiarkan Jamnapari ini meragut di luar kandang adalah bagi mendapatkan pemulihan yang lebih cepat dan kecergasan pada Jamnapari itu sendiri. Kami cuma membiarkannya meragut tidak lebih dari 2 kali seminggu. Bimbang juga kalau terkena jangkitan yang lain pulak...
InsyaAllah, selang beberapa bulan lagi dapatlah kami merasa untuk melihat hasil baka Jamnapari di Kandang EG Plantation ini kerana terdapat beberapa ekor yang telah bunting.
Agaknya Jamnapari pertama ni nak rasmikan kandang yang baru tu kot...sekitar bulan Ogos nanti. Mudahan sempat le Jamnapari ni melahirkan anak kat kandang baru nanti..

Ini perkembangan terbaru Projek Pembiak-Bakaan Jamnapari Tulen yang sedang kami jalankan di Ladang Ternakan EG Plantation di Felda Trolak Timur. Walaupun agak perlahan, namun kami dah boleh tersenyum lebar sedikit sewaktu melihat kesemua 28 batang tiang bagi kandang baru telah siap sedia didirikan oleh Hj Amir dan Puan Shabariah.
Pada hari minggu dan cuti Wesak yang lalu, kami sekeluarga telah turun padang bergotong-royong. Aku (eg) telah membantu bapa mertua memacak tiang, mengorek lubang dan mencangkul tanah, puhhh.. sampai melecup tangan dibuatnya. Isteri ku dan adik ipar membersihkan kandang, mengikis sisa-sisa tinja yang melekat dilantai. Pada sebelah petang, kandang disembur dengan ubat pembasmi kuman dan bakteria. Mungkin 2 bulan sekali kandang akan disembur dengan ubat bagi menjamin kebersihan dan kesihatan kambing.
Kandang baru kami ini berkeluasan 28'x60' bakal mempunyai sekurang-kurangnya 10 pen (petak). Setiap satu pen berkeluasan 10'x10' dapat memuatkan antara 10~12 ekor Jamnapari dewasa. Pen rawatan juga akan dibina bagi tujuan memudahkan merawat kambing yang sakit atau kambing yang sedang menanti kelahiran atau kambing yang baru melahirkan anak.
Disamping itu juga sebuah setor untuk menyimpan peralatan dan kemudahan pengurusan kandang telah hampir 40% siap. Bila dah siap nanti, bolehlah kami mula menempatkan beberapa peralatan seperti Mesin Chopper, Tong Silaj, kelengkapan ubat-ubatan dan sebagainya.
Bagi pembinaan kandang yang baru ini, kami menggunakan kayu-kayu terpakai dan yang telah "reject" kerana ianya adalah lebih baik dan tahan lama berbanding kayu yang baru bukan sahaja ianya jauh lebih mahal, malahan tidak tahan lama disebabkan belum cukup kering (matang). Kami juga berharap kos pembinaan kandang baru ini tidak melebihi RM20K atau tidak melebihi jangkaan RM12 sekaki persegi.
InsyaAllah, apabila telah siap nanti, bolehlah kami mula memasukkan Kambing Jamnapari Induk dan memulakan secara aktif Sistem Pawah Kambing. Pada masa sekarang telah ada beberapa tempahan daripada mereka yang ingin menyertai, tetapi kami terpaksa meminta mereka untuk bersabar sehingga selewat-lewatnya bulan Ogos 2008 nanti.
Kami juga di dalam proses akhir untuk menyiapkan program Sistem Pawah Kambing Jamnapari ini dengan kos yang berpatutan sebanyak RM10,000 sahaja dengan pulangan yang amat menarik selama 2 tahun.
Pada masa yang Kertas Cadangan Sistem Pawah ini telahpun diserahkan kepada pihak bank untuk kelulusan bagi mendapatkan pembiayaan kepada peserta Sistem Pawah EG Plantation yang layak. Pada hari yang sama wakil pihak bank sendiri telahpun mengadakan lawatan ke Ladang Ternakan EG Plantation untuk meninjau lokasi ladang dan kemudahan yang akan disediakan nanti. Mudah-mudahan semua berjalan dengan lancar seperti yang kami harapkan.

Malam tadi tepat jam 10:30 malam 26 April 2008 bermulalah episod baru EG Plantation dalam dunia penternakan kambing Jamnapari FB bilamana sejumlah 12 ekor Jamnapari Induk dan 1 ekor Jamnapari Pejantan tiba dan memasuki kandang sementara EG Plantation yang terletak di Trolak Timur.
Perjalanan Jamnapari ini dari Teguh Ternak di Meru, Klang Selangor mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit untuk lori yang membawa Jamnapari ini tiba dengan 3 orang kakitangan Teguh Ternak yang di ketuai oleh Sdr Rais tidak menghadapi apa-apa masalah. Pun begitu terdapat pemeriksaan biasa yang dijalankan oleh Polis Bantuan di pintu masuk Felda Trolak Timur. Memandangkan perjalanan Jamnapari ini adalah beserta dengan permit yang dikeluarkan oleh JPH, maka ianya tidak mendatangkan apa-apa masalah semasa pemeriksaan tersebut.
Tepat jam 10:45 malam, Jamnapari Pejantan mula diturunkan dari lori dengan mengikat seutas tali pada leher Jamnapari bagi mengelakkannya terlepas dan melarikan diri memandangkan kedudukan pintu masuk kandang tidak membolehkan Jamnapari tersebut dimasukkan terus ke dalam kandang dari atas lori. Tambahan pula persekitaran kawasan tersebut agak gelap dan menyukarkan sekiranya Jamnapari tersebut terlepas nanti.
Keadaan agak cemas seketika bilamana satu insiden berlaku bila tali yang mengikat leher Jamnapari Pejantan tersebut terlucut dan menyebabkan Jamnapari terlepas dari ikatan. Prof (Kamarol) yang berada berhampiran segera menangkap dengan memegang leher Jamnapari Pejantan tersebut. Alhamdulillah, Jamnapari Pejantan itu tidak meronta atau melarikan diri sebelum Haji Amir (Ayah Mertua EG) mengikat tali ke leher Jamnapari Pejantan tersebut dan terus membawanya memasuki kandang.
Proses membawa turun Jamnapari Induk seterusnya berjalan dengan lancar tanpa apa-apa masalah sehingga kesemuanya dimasukkan ke dalam kandang sekitar jam 11:15 malam.
Terdapat 2 ekor Jamnapari Induk yang menghadapi sedikit "stress". Mungkin kerana perjalanan yang agak jauh dari Meru ke Trolak Timur sekitar 120km telah menyebabkannya berlaku. Tetapi seketika kemudian, kesemua Jamnapari Induk mula meragut rumput Napier yang telah disediakan sejak lewat petang tadi.
Kemasukan Jamnapari FB ini juga telah menarik perhatian Jamnapari (Cross) dan kambing-kambing lain yang sedia-ada di dalam kandang dan menyebabkan keadaan agak bising dengan bunyi kambing mengembek. Mujurlah, kandang EG jauh dari kawasan penempatan orangramai, maka ianya tidak mendatangkan masalah gangguan kepada mereka.
Kami berada dan memerhatikan keadaan Jamnapari-Jamnapari tersebut di dalam kandang bagi memastikan kesemua Jamnapari tersebut berada di dalam keadaan baik dan memuaskan sebelum meninggalkan kandang sekitar jam 12:15 tengahmalam.
Kami menjangkakan, Jamnapari Induk baru ini akan mula beranak pada 4 bulan yang akan datang memandangkan terdapat beberapa ekor Induk yang telahpun bunting semasa berada di penempatan sementara di kandang Teguh Ternak lagi.

InsyaAllah, jika tiada apa-apa aral melintang, EG Plantation akan menerima kemasukan sebanyak 12 Jamnapari Induk dan 1 ekor Jamnapari Pejantan ke dalam kandang sedia ada. Pembelian kesemua kambing Jamnapari ini adalah melalui Teguh Ternak Sdn. Bhd. di Meru Klang, Selangor yang juga merupakan diantara pembekal baka-baka tulin Kambing Jamnapari (F1) yang bermutu tinggi.
Seperti kebiasaannya, Jamnapari tersebut yang dibeli di Negara Indonesia terpaksa dikuarantinkan terlebih dahulu di kandang Teguh Ternak bagi memastikan Jamnapari tersebut dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran negara kita. Ini juga dapat mengelakkan pembeli daripada menghadapi masalah apabila Jamnapari tersebut mengalami keadaan "stress".
Memandangkan proses "ujian darah" dan kelulusan rasmi dari Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Klang dan Perak mengambil masa yang agak lama, maka Teguh Ternak dan EG Plantation terpaksa menjadualkan penghantaran Kambing Jamnapari tersebut beberapa kali, walaupun kandang EG Plantation telah lama bersedia menantikan kemasukan Jamnapari tersebut.
Kelulusan dan permit tersebut hanya diperolehi pada lewat minggu lepas setelah hampir 2 bulan menguruskan dan membuat permohonan kepada pihak JPH. Adalah menjadi harapan semua penternak-penternak agar pihak JPH lebih peka di dalam menyelesaikan masalah kelewatan memberikan permit pemindahan kambing ini kerana secara tidak langsung ianya telah menyebabkan kenaikan terhadap kos pengurusan kambing.
InsyaAllah, kemasukan Kambing Jamnapari tersebut dijadualkan pada hari Sabtu 26 April 2008 ini di Kandang EG Plantation.


Kursus Penternakan Kambing Siri-1 anjuran EG Plantation dengan kerjasama Teguh Ternak Sdn. Bhd. di Meru, Klang, Selangor yang bermula dari 16 April 2008, telahpun berakhir 20 April 2008. Seramai 16 orang peserta telahpun berjaya menamatkan Kursus Penternakan ini selama 5 hari 4 malam.
Pada hari terakhir, Pegawai dari Institut Pengurusan Varterina Cheras (IPV), Tuan Haji Mukhzir telah menyampaikan ceramah tentang pengurusan ternakan dan diikuti oleh Pegawai Pusat Latihan Agro Bank (dahulunya Bank Pertanian Malaysia)-ABADI telah mewakili pihak bank untuk memberikan penerangan tentang kemudahan dan pinjaman yang disediakan oleh pihak bank kepada peserta-peserta kursus ternakan ini.
Kesemua peserta iaitu 10 orang lelaki dan 6 orang wanita yang mengikuti kursus ini mempunyai latar belakang yang berbeza tetapi matlamat mereka adalah sama iaitu untuk menjadi seorang usahawan ternak yang berjaya di suatu hari nanti.
Peserta yang mengikuti latihan ini akan terus dibimbing oleh EG Plantation untuk menjadi seorang usahawan ternak yang berjaya. InsyaAllah.